Wednesday, June 22, 2011

Kepada insan yang aku sayangi,

Wahai sayangku, mengapa kau sering bersedih hati? Mengapa matamu yang indah itu sering kau basahi dengan airmata? Janganlah kau bazirkan airmata mu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah kau lupa pada Pencipta kita? Ingatlah kau tidak pernah keseorangan tatkala kau merasakan dunia ini meminggirkan kau.

Tahukah kau bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Ujian itu tarbiyyah kepada kita. Kadang kala kita berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya. Ada ketika kita berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri.

Tapi ingatlah sayang, Allah s.w.t tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika kita tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, kau hadapinya dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-Nya yang sabar.Cuba kau renungi sepotong Kalamullah ini;

"Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah."(Surah Al-Baqarah 2:286)

Kau juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu. Ingatlah pada Khaliq Maha Pencipta. Dia akan sentiasa berada di sisimu tidak kira kau dalam kesenangan mahupun kesusahan.Maka, sekalah airmatamu itu. Tabah dan teruskan perjuangan kau dengan aman. Berhentilah dari berkeluh-kesah kerana keluh-kesah itu datangnya dari bisikan syaitan durjana. Mintalah pada-Nya supaya kau diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup.

Sayangku, si manis.

Ingin aku layangkan setitip pesanan buat diri mu dan juga diri ku ini. Kita hanya menumpang hidup di dunia Allah yang fana ini. Dunia ini umpama kita berjalan di dalam hutan yang penuh dengan duri-duri yang tajam serta binatang buas yang sering kali kita tidak sedari. Kadang kala kita alpa dengan keindahan dan ketenangannya. Lupa pada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terluka di cucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Kau akan merintih dan mengaduh kesakitan.Menangis dan mengharapkan pertolongan.

Sayang, kita harus berhati-hati kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang kau lalui itu. Mereka hanya menunggu masa untuk menyerang mangsanya. Andai kata kau tersilap langkah, kau akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu. Begitulah jugalah kehidupan kita. Dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ranjau berduri, kita sering berhadapan dengan masalah yang sering meyesakkan jiwa dan minda kita.

Kadang kala masalah itu sendiri meragut ketenangan hati sesorang insan. Fikiran melayang entah ke mana dan jiwa itu tidak pernah tenteram. Mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran.Hati tidak keruan memikirkan masalah. Insan yang lemah itu mula melupakan pada Penciptanya yang Maha Esa. Lupa segalanya.

Janganlah kau menjadi seperti itu. Jangan kau lupakan siapa yang mencipta dirimu dan apa tawajuh kehidupan kau sebenarnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Kau pujuklah hatimu dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya kau akan berasa lebih tenang. La Tahzan, wahai sayang!

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran:139)

Wahai sayang,

Aku mengerti apa yang kau rasakan di dalam hatimu itu. Jiwa kau terhimpit dengan penyesalan. Kau berasa gusar di atas kealpaan kau suatu ketika dahulu. Dirimu dipalit dengan dosa-dosa hitam. Aku sering mendengar kau merintih pada Allah s.w.t. tatkala kau berteleku di tikar sembahyangmu. Menangislah kerana Allah s.w.t. Jika kau mengalirkan airmata keinsafan, itu amat bermakna buatmu. Cara itu mampu mendekatkan kau dengan-Nya. Mintalah pada-Nya keampunan dan kemaafan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Ambillah iktibar dari firman Allah s.w.t ini;

"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula."(Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Jadikan kisah silammu itu sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Sematkanlah di dalam hati supaya kau tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguh pada tali agamamu. Ingatlah pada ajaran Islam. Rasul bermadah bahawa "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Kau harus ingat sayangku. Kau amat beruntung dilahirkan dalam Ad-Din yang sempurna ini. Teruskanlah dengan membasahi bibirmu yang mungil itu dengan zikrullah dan kalamullah serta bermunajatlah pada Allah. Percaya dan yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan mengurniakan maghfirah buat dirimu, sayangku. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan akan menguatkan diri kita.

Akhir kali ingin aku katakan, berusahalah sedaya yang kau mampu dan letakkanlah penggantunganmu kepada Allah.

Dari,
Insan yang menyayangi dirimu..

Darjat seorang wanita disisi Islam adalah sangat tinggi dan mulia. Wanita adalah golongan yang perlu dihormati, dijaga maruahnya, disayangi dan dikasihi . Seorang ibu yang telah berkorban seluruh jiwa dan raganya untuk melahirkan dan membesarkan anaknya adalah merupakan seorang wanita yang dipandang mulia oleh Allah S.W.T. Allah S..W.T akan mengurniakan pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda untuk para wanita yang sanggup berkorban di jalan Allah.

Berikut merupakan keistimewaan wanita menurut Islam yang telah disebutkan di dalam beberapa hadith sahih dan difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Qur'an. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menghormati dan menghargai para wanita yang solehah. Berbahagialah engkau wahai bidadari penghuni syurga !

1. Wanita yang solehah (baik) itu lebih mulia darjatnya daripada 70 orang lelaki yang soleh.

2. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. Manusia yang takutkan Allah S.W.T pula akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

3. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya adalah sama seperti bersedekah.

4. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyenangkan hati anak perempuannya pahalanya seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w)

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga .

7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka".

8. Syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila ayah dan ibumu memanggilmu serentak , Rasulullah s.a.w telah mengajar kita untuk menjawab panggilan ibu terlebih dahulu.

10. Wanita yang taat kepada suaminya akan tertutup untuknya pintu-pintu neraka dan terbuka baginya pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung-burung di udara, para malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya akan beristighfar untuknya selama mana dia masih taat kepada suaminya

12. Aisyah r.a. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, Siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula yang lebih berhak terhadap seorang lelaki ?" Tanya Aisyah kembali, Jawab Rasulullah S.A.W lagi, "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui pintu syurga yang mana satu yang dia kehendaki.

14. Setiap seorang perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mengurniakan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit ketika hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

20. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali Allah S.W.T.

21. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk dari pada 1,000 orang lelaki yang jahat.

22. 1 rakaat solat daripada wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

23. Wanita yang memberi minum air susu ibu kepada anaknya daripada badannya (susu badannya sendiri) akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

24. Wanita yang melayani suaminya dengan baik apabila suaminya pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

25. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

26. Wanita yang membenarkan suaminya keluar berjuang di jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, wanita itu juga akan menjadi ketua kepada 70,000 malaikat dan bidadari syurga dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, serta akan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga ananyak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia menghiburkan hati anaknya Allah akan memberi 12 tahun pahala beribadah.

28. Wanita yang memerah susu binatang dengan bacaan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

29. Wanita yang menguli tepung gandum dengan membaca "Bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

30. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.

31. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti berpuasa pada siang hari.

32. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti beribadat pada malam hari.

33. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah akan mengurniakan satu pahala haji.

34. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid di jalan Allah.

35. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

36. Jika wanita menyusui anaknya sehingga mencukupi tempoh(2½ thn), maka malaikat-malaikat dilangit akan membawa khabar berita itu ke syurga dan syurga itu dikatakan adalah wajib baginya. Dan jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang sedang menangis, InsyaAllah Allah akan memberikan padanya pahala satu tahun solat dan puasa.

37. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.

38. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

39. Jika suami mengajarkan isterinya akan sesuatu perkara yang tidak diketahuinya ,beliau akan mendapat pahala seperti 80 tahun beribadah.

40. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan terus kepada wanita yang menutupi auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Oleh itu wahai para wanita muslimah yang dihormati dan disegani, bangkitlah dan niatkanlah setiap amalanmu adalah untuk mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa. Semoga anda akan turut menjadi salah seorang wanita pilihan yang diberikan ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya diakhirat kelak. Amin.

Monday, June 20, 2011

Aku Cuma An-Nisaa

Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada

Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah

Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..

Ya Allah...
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah


Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..

Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.

Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan

Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!

Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..